KOTA KINABALU: Lawatan kerja selama tiga hari oleh Yang Dipertua ASEAN Chamber of Commerce & Industry (ACCI) Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening ke Republik Kazakhstan membuka peluang kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor strategik melibatkan Sabah dan negara Asia Tengah itu.
Lawatan atas jemputan rasmi Dewan Usahawan Kota Almaty (Atameken) itu turut melibatkan sesi pertemuan bersama wakil kerajaan Kazakhstan, Tourism Malaysia di Kazakhstan, serta pegawai Seksyen Perdagangan Kedutaan Malaysia.
Antara sektor yang dikenal pasti berpotensi tinggi untuk kerjasama adalah pelaburan, pelancongan, pendidikan, minyak dan gas, teknologi maklumat serta pelancongan kesihatan.
Menurut Nordin, rakyat Kazakhstan kini mula melihat Asia Tenggara khususnya Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan, ekoran ketidakstabilan di Eropah Timur dan Timur Tengah.
“Penerbangan terus Almaty–Kuala Lumpur sebanyak empat kali seminggu dan cadangan pertambahan kepada lima kali akan memudahkan kemasukan pelancong.
“Kerajaan Kazakhstan menyatakan minat untuk membawa lebih ramai pelancong ke Sabah, khususnya ke Kota Kinabalu dan Semporna. Ini peluang besar buat Sabah,” katanya.
Namun, beliau menegaskan promosi pelancongan ke Sabah perlu dipergiat bagi menyaingi tarikan seperti Langkawi yang kini menjadi pilihan utama rakyat Kazakhstan.
Lawatan itu turut mendedahkan peluang pelaburan besar di Kazakhstan termasuklah kilang tali sawat (conveyor belt) untuk industri agrikultur dan perlombongan; pemprosesan sisa mineral teknogenik (TMW) yang mengandungi logam bernilai tinggi.
Selain itu, lapangan minyak Tortai dengan rizab dianggarkan lebih 82 juta tong dan Kenderaan Elektrik (EV) di mana Proton telah mula membina kilang pengeluaran di negara itu.
Dalam pada itu katanya, Kazakhstan juga menunjukkan minat dalam pembangunan perbankan Islam, teknologi kewangan (fintech) serta kerjasama dalam bidang pendidikan terutama pertukaran pelajar dan pembelajaran Bahasa Inggeris yang mana Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikenal pasti sebagai rakan strategik berpotensi.
Malaysia kini turut menjadi destinasi utama rawatan perubatan bagi rakyat Kazakhstan dan Nordin melihat ini sebagai peluang besar untuk hospital swasta dan pusat pemulihan di Sabah mengembangkan perkhidmatan kepada pelancong kesihatan dari rantau tersebut.
“ACCI Sabah akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara pelabur dan pemain industri dari kedua-dua negara.
“Kami akan menyusun langkah susulan bagi mempermudah kemasukan pelabur dan pelancong Kazakhstan ke Sabah, serta sebaliknya,” katanya.
Nordin turut menggesa agensi seperti MATRADE, MITI, MIDA, Tourism Sabah dan sektor swasta Sabah agar mengambil peluang ini dengan pendekatan yang serius dan berstrategi.

