KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan pendiriannya untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, tanpa sebarang kerjasama politik dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti itu telah menetapkan sasaran untuk bertanding di sekurang-kurangnya 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan tumpuan utama diberikan kepada kawasan luar bandar dan separa bandar yang sebelum ini ditandingi dalam PRN 2020.
“Jentera BN berada dalam keadaan siap siaga. Kami telah membuat beberapa simulasi dan latihan di kawasan sasaran. Kami bersedia menghadapi pertandingan satu lawan satu mahupun pelbagai penjuru, termasuk dengan GRS,” katanya.
Menurut ADUN Lamag itu, BN Sabah menjangka banyak kerusi akan menyaksikan pertandingan hingga enam atau tujuh penjuru, namun tetap yakin dengan kekuatan akar umbi parti untuk menawan semula sokongan rakyat.
Dalam pada itu, Bung turut menyentuh tentang kerjasama dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) parti komponen BN yang dijangka akan menumpukan kerusi-kerusi pedalaman seperti Keningau, yang mempunyai majoriti pengundi Bumiputera bukan Islam.
Beliau turut mendedahkan bahawa rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) sedang berjalan lancar, terutamanya dalam pembahagian kerusi di kawasan bandar dan majoriti pengundi Cina.
“PH adalah rakan kerjasama yang baik. Mereka lebih dominan di kawasan bandar dan kita yakin kerjasama ini akan dimuktamadkan dengan baik tanpa pertindihan,” jelas Bung.
Walau bagaimanapun, pendekatan BN Sabah yang secara terbuka menolak kerjasama dengan GRS dilihat bercanggah dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyeru agar model kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan turut diteruskan di Sabah.
Hubungan UMNO dengan GRS mula retak susulan krisis politik Sabah pada Januari 2023 yang menyaksikan kerjasama yang terjalin sejak PRN 2020 terbatal.
Bung mendakwa GRS telah beberapa kali melanggar perjanjian kerusi dan meminggirkan peranan UMNO dalam pentadbiran negeri.
“Saya sendiri mengalami situasi itu ketika menjadi Menteri Kerja Raya Negeri. Banyak cadangan saya tidak dipertimbangkan, manakala kementerian GRS berjalan seperti biasa,” tegas beliau.
Kesan krisis tersebut turut menyaksikan Bung digugurkan daripada Kabinet Negeri dan digantikan oleh Datuk Shahelmey Yahya salah seorang daripada lima ADUN UMNO yang memilih untuk menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Justeru itu, Bung menegaskan bahawa sebarang bentuk rundingan atau kerjasama dengan GRS hanya akan dipertimbangkan selepas PRN, bergantung kepada keputusan rakyat dan situasi politik semasa.
“Kita tunggu keputusan rakyat dahulu. Jika perlu bincang selepas itu, kita akan lihat keadaan,” katanya lagi.
Untuk rekod, dalam PRN Sabah 2020, BN bertanding di 32 kerusi dan memenangi 14, manakala BERSATU yang ketika itu bersama Perikatan Nasional memenangi 11 kerusi.
Gabungan bersama GRS telah membentuk kerajaan, namun berlaku pertembungan sesama sendiri antara komponen di lebih 17 kerusi.

