KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa sebanyak empat rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula 7 hingga 8 Julai 2025.
Menurut beliau, dua RUU akan dibentangkan oleh Jabatan Ketua Menteri, manakala dua lagi oleh Kementerian Kewangan Sabah.
RUU yang akan dibentangkan oleh Jabatan Ketua Menteri ialah, Rang Undang-Undang Perhutanan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Iklim dan Karbon 2025.
Sementara itu, Kementerian Kewangan akan membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025.
Pengumuman itu dibuat Hajiji semasa mempengerusikan mesyuarat Pasca-Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu hari ini.
Sidang DUN kali ini dijangka memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar dan pengukuhan tadbir urus, termasuk pindaan penting dalam sektor kewangan negeri serta pengurusan hutan dan iklim sejajar dengan agenda pembangunan mampan dan Sabah Maju Jaya.
RUU Perbekalan Tambahan khususnya dijangka akan menyentuh aspek pengurusan kewangan tambahan untuk menampung keperluan perbelanjaan negeri bagi tahun semasa.
Sidang selama dua hari itu dijangka turut disertai perbahasan aktif daripada wakil-wakil rakyat merentasi semua blok politik dalam membincangkan hala tuju pembangunan dan dasar kerajaan negeri.

