KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Land Cruiser yang terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dan terjatuh ke dalam longkang di Jalan Damai-Luyang berhampiran Restoran Wong Kok tengah hari tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 1.00 tengah hari dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi hanya lima minit kemudian.
“Kemalangan tragik itu melibatkan seorang mangsa lelaki, dikenali sebagai Yong Ket Kong, berusia 67 tahun yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu akibat hentakan kuat selepas kenderaannya terbabas.
Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa, namun beliau telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.50 petang.
Kejadian turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik sementara di kawasan sekitar susulan tiang elektrik yang dirempuh. Pasukan teknikal Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) telah berada di lokasi bagi kerja-kerja pembaikan.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya terutamanya di kawasan bandar yang padat dengan infrastruktur dan lalu lintas aktif.

