Site icon TUHAU BAMBANGAN

Warga asing pengedar ekstasi & ketamin tumpas di Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing yang dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ekstasi dan ketamin berjaya diberkas dalam satu serbuan polis di Kampung Pisang, Jalan Bakawali, malam tadi.

Serbuan sekitar jam 10.30 malam itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lahad Datu menerusi Ops Tapis, yang bertujuan membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di kawasan tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau, suspek merupakan seorang lelaki warga Filipina berusia 30 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah yang dihuni suspek membawa kepada penemuan 13.12 gram dadah disyaki ketamin bernilai sekitar RM2,624, serta 89.63 gram pil ekstasi dianggarkan bernilai RM14,900,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah wang tunai sebanyak RM537 dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk urusan jual beli dadah.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan), dan Seksyen 39A(1) Akta yang sama atas pemilikan dadah berbahaya dalam kuantiti melebihi had dibenarkan.

Superintendan Jimmy menegaskan bahawa pihak polis akan terus memperhebatkan operasi anti-dadah di seluruh daerah Lahad Datu, bagi memastikan komuniti setempat kekal selamat daripada ancaman dadah.

“Kami menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau pengedaran dadah terus kepada pihak berkuasa. Kerjasama masyarakat amat penting bagi mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Exit mobile version