KOTA KINABALU: Seorang penghantar makanan maut dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Jalan Lintas berhampiran Jesselton Medical Centre (JMC) di sini pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Kasim bin Muda, kejadian berlaku sekitar jam 11.15 pagi melibatkan sebuah motosikal SYM yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun, dan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu lelaki tempatan berumur 23 tahun.
Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila penunggang motosikal yang berada di antara lorong tengah dan kanan cuba mengelak sebuah Toyota Hilux (nombor pendaftaran tidak dikenal pasti) yang secara tiba-tiba memotong dari lorong tengah ke kanan. Akibatnya, penunggang motosikal membrek secara mengejut sebelum dilanggar dari belakang oleh kereta Myvi.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal tercampak ke lorong kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I,” kata ACP Kasim dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan petang ini.
Pemandu Perodua Myvi pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada, dan kini sedang menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Queen Elizabeth I.
Pihak polis kini sedang giat menyiasat kes tersebut dan meminta mana-mana saksi bebas yang berada di lokasi kejadian untuk tampil memberikan maklumat. Orang awam yang mempunyai rakaman dashcam di laluan tersebut juga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802.
Polis mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhemah dan berhati-hati bagi mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang.

