Site icon TUHAU BAMBANGAN

Biarkan proses undang-undang berjalan, kerajaan negeri tidak akan campur tangan – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan campur tangan dalam siasatan dan tindakan undang-undang terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedang berdepan pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, Hajiji berkata bahawa semua pihak perlu menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

“Kita menghormati undang-undang, dan kita akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya. Kerajaan Negeri GRS tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemimpin kerajaan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pertuduhan terhadap ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob, dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini di hadapan Hakim Jason Juga atas pertuduhan menerima rasuah.

Mengulas kedudukan kedua-dua ADUN dalam pentadbiran semasa, Hajiji berkata pihaknya akan meneliti perkara itu secara mendalam selepas menerima maklumat dan laporan lengkap berkaitan kes berkenaan.

“Kerajaan Negeri GRS komited untuk memastikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan,” tambah beliau.

Datuk Andi, yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, dan Dr. Yusof yang menjawat jawatan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, didakwa menerima wang daripada Dato’ Tei Jiann Cheing sebagai ganjaran bagi membantu mendapatkan lesen mencarigali mineral untuk dua syarikat yang dimiliki rakan niaga Tei.

Dalam perkembangan sama, Albert Tei turut didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan memberi rasuah kepada kedua-dua ADUN terbabit.

Kes ini dijangka mendapat perhatian meluas memandangkan ia melibatkan tokoh-tokoh dalam pentadbiran negeri serta isu ketelusan dalam pengurusan sumber asli Sabah.

Exit mobile version