Site icon TUHAU BAMBANGAN

Albert Tei mengaku tidak bersalah sogok 2 ADUN Sabah demi lesen perlombongan mineral

KOTA KINABALU: Ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi wang rasuah kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah membabitkan urusan perolehan lesen perlombongan mineral di Sabah.

Manakala dua ADUN Sabah termasuk ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Muhammad Andi Suryady Bandy turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima wang rasuah membabitkan kes yang sama.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini.

Hakim kemudian menetapkan Albert Tei diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan deposit RM15,000, manakala Yusof Dan Andi dijamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan deposit RM10,000.

Albert Tei diwakili tiga peguam termasuk Edward Paul, Bartholomew Jingulam Dan Jul Hamrie Jumhani.

Manakala, dua ADUN diwakili pasukan peguam Datuk Ram Singh, Datuk Rizwandean Bukhary dan Shahlan Jufri.

Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula diwakili oleh Pegawai Pendakwa Raya, Rustam Sanip, Nurul Izzati Sapifee dan Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Ogos 2025 untuk sebutan semula kes.

Albert dituduh di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 iaitu memberi wang rasuah dan dua ADUN dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 iaitu menerima wang rasuah.

Terdahulu, media melaporkan Albert telah memberi sogokan kepada dua ADUN Sabah terlibat sebanyak RM350,000, masing-masing Yusof (RM200,000) dan Andi (RM150,000).

Exit mobile version