KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penerimaan dana berjumlah RM1.78 juta dalam skandal perlombongan di negeri ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, beliau menyifatkan laporan yang diterbitkan oleh portal MalaysiaKini sebagai tidak berasas, bermotif politik, dan bertujuan menggugat kestabilan kerajaan negeri yang diterajuinya bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Saya tidak pernah, sama sekali, menerima sebarang dana berkaitan permohonan perlombongan atau mana-mana skandal yang didakwa. Ini adalah fitnah yang direka oleh politikus-politikus terdesak yang mahu mengganggu kestabilan politik Sabah,” katanya.
Menurut beliau, taktik seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu dan telah digunakan sejak era politik Sabah pada tahun 1960-an sebagai senjata untuk menjatuhkan lawan.
Jeffrey turut menegaskan bahawa Parti STAR tidak pernah terlibat dalam sebarang permohonan lesen perlombongan dan kekal komited terhadap prinsip pemuliharaan alam sekitar melalui sokongan kepada Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA).
“Kami tidak pernah dan tidak akan menyokong sebarang bentuk perlombongan yang bertentangan dengan prinsip pemuliharaan yang kami junjung. Tuduhan ini bertentangan dengan dasar parti kami,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dirinya serta beberapa pemimpin STAR telah memberikan kerjasama penuh kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk memberikan kenyataan lengkap dan terperinci.
“Saya menolak sekeras-kerasnya cubaan membicarakan kes ini melalui media dan pendapat umum. Malaysia adalah negara yang mengamalkan prinsip undang-undang. Biarkan siasatan berjalan secara adil,” katanya sambil menyifatkan tindakan media tertentu sebagai berniat jahat.
Beliau pada masa sama turut memberi amaran bahawa beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap MalaysiaKini atas laporan yang didakwanya tidak bertanggungjawab dan merosakkan reputasinya.
“Lebih banyak fitnah dan dakwaan palsu akan dilemparkan menjelang pilihan raya nanti. Ini adalah percaturan politik pihak tertentu yang berharap dapat mengubah landskap politik Sabah melalui berita palsu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perjuangannya untuk menegakkan hak-hak Sabah tidak akan goyah meskipun berdepan serangan bertubi-tubi melalui media dan persepsi.
“Saya telah lama membayar harga perjuangan ini, termasuk melalui penahanan, pengorbanan dan tohmahan. Tapi saya tetap berdiri teguh bersama rakyat Sabah,” tegas beliau.

