TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita palsu yang semakin berleluasa di media sosial menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, pelbagai cerita yang tidak sahih telah disebarkan oleh pihak-pihak tertentu yang berniat untuk mengelirukan rakyat dan menggugat kestabilan kerajaan negeri yang sedia ada.
“Jangan buat pilihan yang salah. Kerajaan negeri hari ini telah membuktikan komitmen dalam membangunkan Sabah melalui perancangan strategik dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pelancongan dan kerjasama dengan Petronas bagi meningkatkan hasil negeri,” katanya semasa berucap di Majlis Penutupan Festival Budaya Lotud BBKWDDP di Dewan Hone, IPGM Kent, Tuaran.
Hajiji menegaskan bahawa pentadbiran beliau telah membawa banyak pembaharuan dan inisiatif baharu, termasuk bantuan untuk pelajar Sabah di Semenanjung Malaysia serta bantuan pulang ke kampung semasa musim perayaan – sesuatu yang tidak pernah dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.
“Kita mahu membantu meringankan beban pelajar kita hari ini. Ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat di setiap peringkat,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelaburan asing terus mengalir ke negeri ini, termasuk pelaburan besar bernilai lebih RM19.5 bilion dari sebuah syarikat berpangkalan di Singapura. Pelaburan itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dan dijangka membuka kira-kira 8,000 peluang pekerjaan dalam fasa pertama.
“Sabah kini semakin berkembang, termasuk Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang yang kini telah dipenuhi pelabur. Inilah aspirasi kita – mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” jelas Hajiji.
Dalam masa yang sama, beliau turut memuji penganjuran Festival Budaya Lotud BBKWDDP yang disifatkan sebagai usaha murni dalam memelihara dan memperkasakan warisan budaya suku kaum Lotud.
“Kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif yang memperkukuh nilai budaya dan memperkasakan golongan belia melalui seni warisan. Saya berharap kaum Dusun Lotud terus menjadi komuniti yang progresif dan setanding dengan etnik lain di Sabah,” katanya.
Festival Budaya Lotud BBKWDDP kali ini melibatkan penyertaan tujuh kampung iaitu Batangan, Barus, Korompitut, Wokok, Dungang 1, Dungang 2 dan Pendamai.

