Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki, wanita ditahan, miliki dadah jenis ekstasi & syabu di Penampang

PENAMPANG: Polis Penampang menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) berjaya menahan dua individu tempatan dalam dua serbuan berasingan melibatkan rampasan dadah jenis ekstasi dan syabu dalam operasi yang dijalankan pada 27 dan 28 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, dalam kenyataan media hari ini berkata serbuan pertama dilakukan pada 27 Jun kira-kira jam 9.45 malam, melibatkan tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di hadapan lobi sebuah kondominium di daerah ini.

“Pemeriksaan menemui enam paket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dengan berat anggaran 228 gram. Polis turut merampas sebuah kenderaan dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM4,800,” katanya.

Suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Dalam serbuan kedua, pada 28 Jun sekitar jam 2.00 petang, sepasukan anggota BSJN IPD Penampang telah menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di sebuah kawasan perumahan di Putatan.

Hasil pemeriksaan menemukan tiga paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.22 gram. Ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun serta sekurang-kurangnya tiga kali sebatan, dan/atau denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Superintendan Sammy berkata, kejayaan ini merupakan hasil risikan dan kerjasama berterusan antara BSJN IPD Penampang dan JSJN IPK Sabah. Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menjadi rakan strategik polis dalam membanteras gejala dadah.

“Pihak polis akan terus komited memerangi najis dadah. Kami menyeru orang ramai agar menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam usaha membendung jenayah dan penyalahgunaan dadah di daerah ini,” katanya.

Penangkapan ini menunjukkan ketegasan pihak berkuasa dalam membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang terus mengancam keselamatan komuniti di Sabah.

Exit mobile version