TAWAU: Seorang wanita tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul dan diugut dengan senjata tajam oleh suaminya dalam satu insiden keganasan rumah tangga yang berlaku di kediaman mereka di Kampung Haji Matahir baru-baru ini.
Menurut laporan pihak polis, insiden bermula daripada salah faham antara pasangan terbabit, yang kemudiannya bertukar menjadi pertengkaran fizikal.
“Mangsa bukan sahaja mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat dipukul, malah turut menerima ugutan berbentuk kata-kata ancaman serta diacukan senjata tajam oleh suaminya. Risau akan keselamatan dirinya, wanita tersebut tampil membuat laporan di Balai Polis Bombalai.
“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Bombalai, SM Fredolen Biin telah menjalankan operasi pengesanan suspek, seorang lelaki tempatan berusia sekitar 44 tahun.
“Suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis. Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa turut merampas sebilah kapak dan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian ugutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Suspek kini ditahan di balai polis bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Pihak polis menasihati orang ramai, khususnya pasangan suami isteri, agar tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sebarang konflik rumah tangga. Sebaliknya, mereka diseru mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada jabatan atau agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau kaunselor bertauliah.
“Selesaikan pertikaian secara berhemah. Tindakan kekerasan hanya akan memburukkan lagi keadaan dan boleh mengundang tindakan undang-undang,” tegas SM Fredolen Biin.

