Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hormati proses undang-undang, beri peluang 2 ADUN bersihkan nama – Masidi

PUTATAN: Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan bahawa parti dan kerajaan menghormati proses undang-undang berhubung pertuduhan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru-baru ini.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Gagasan Rakyat Petagas, Masidi berkata tindakan yang diambil terhadap dua ADUN tersebut tidak boleh dianggap sebagai bukti kesalahan mereka.

“Kalaupun tindakan itu telah diambil, itu bukan makna mereka telah terbukti bersalah. Kita harus beri peluang kepada kedua-dua ADUN berkenaan untuk membersihkan diri,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa proses undang-undang yang sedang berjalan adalah satu manifestasi kepada prinsip keadilan yang harus dihormati oleh semua pihak, termasuk Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Masidi juga mengulangi bahawa dalam sistem perundangan, setiap individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“They are innocent until they are proven guilty. Itu adalah prinsip undang-undang yang perlu kita pegang dan hormati,” tegas beliau.

Beliau mengulas perkara demikian ketika diminta media, susulan tumpuan terhadap dua ADUN yang didakwa baru-baru ini, yang mencetuskan pelbagai spekulasi tentang kesan terhadap kestabilan politik negeri.

Namun, Masidi menegaskan bahawa parti akan terus fokus kepada tadbir urus yang berteraskan undang-undang dan integriti.

Terdahulu, SPRM mengesahkan bahawa dua ADUN Sabah dan seorang ahli perniagaan akan didakwa pada 30 Jun 2025 di Mahkamah Rasuah Kota Kinabalu berhubung skandal melibatkan pemberian lesen perlombongan mineral negeri ini.

Kesemua tertuduh akan didakwa di bawah Seksyen 16A (meminta/menerima rasuah) dan Seksyen 16B (pengubahan wang haram) Akta SPRM 200.

Exit mobile version