Site icon TUHAU BAMBANGAN

Nelayan warga asing ditahan, cuba seludup syabu bernilai lebih RM100 ribu

TAWAU: Seorang lelaki dipercayai nelayan warga asing ditahan pihak polis selepas cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai lebih RM100,000 dalam satu kejadian di kawasan nelayan Inderasabah, Tawau, pada 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan oleh Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan.

“Suspek bertindak melarikan diri dan mencampakkan beg galas berwarna kelabu ke tanah apabila dihampiri anggota polis. Dia turut bertindak agresif semasa ditahan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Pemeriksaan ke atas beg berkenaan membawa kepada penemuan tiga bungkusan plastik hijau yang mengandungi paket lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat lebih 3 kilogram dengan nilai pasaran mencecah RM105,000.

Suspek didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, dan ujian air kencing turut mendapati beliau positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Menurut ACP Jasmin, dadah tersebut dipercayai untuk edaran di kawasan sekitar Tawau dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti kemungkinan kewujudan sindiket pengedaran dadah lebih besar.

Suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan menasihatkan golongan belia agar menjauhi dadah serta tidak terpengaruh dengan janji sindiket yang hanya merosakkan masa depan.

Exit mobile version