LAHAD DATU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, seramai 150 pelajar dari enam buah sekolah menengah di daerah ini telah menyertai Program Simulasi Mengundi JIWA MADANI\@Kelab Malaysiaku: Demokrasi Kita yang berlangsung di Dewan Tun Mustapha hari ini.
Program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Lahad Datu dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah, Kelab MalaysiaKu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada pengundi muda berusia 18 tahun mengenai kepentingan turun mengundi dan tatacara pengundian sebenar di Malaysia.
Pegawai Penerangan Daerah Lahad Datu, Hendry Nurdin berkata, program ini adalah pendekatan mendidik pelajar tentang sistem demokrasi berparlimen, serta memberikan pengalaman simulasi proses pilihan raya secara langsung.
“Kita mahu pelajar memahami bahawa mereka adalah pengundi muda yang memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan negara,” katanya.
Enam sekolah yang terlibat dalam program ini ialah SMK Silabukan, SMK Agaseh, SMK Terusan, SMK Sepagaya, SMK Segama dan SM Sains Lahad Datu.
Antara peserta, Nurnazirah Insan, 18, berkata beliau kini lebih memahami maksud dan proses pengundian, termasuk tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai rakyat.
Manakala Nuruzmafarhana Jafarudin, 18, menyatakan program ini membantu memperjelaskan jenis-jenis pilihan raya dan cara mengundi yang betul.
Sementara Ikhmal Fikri, 18, pula menyatakan kesediaannya untuk menjadi pengundi yang bijak dan memilih pemimpin berkaliber.
Program ini menjadi platform awal bagi membentuk belia celik demokrasi, sekali gus memastikan mereka menjadi warganegara yang aktif, bertanggungjawab dan memahami sistem pemerintahan negara.

