Site icon TUHAU BAMBANGAN

Wanita maut dalam kemalangan 3 kenderaan termasuk lori 10 tan

LAHAD DATU: Seorang wanita berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia manakala seorang lelaki cedera ringan dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Taman Warisan, Jalan Tengah Nipah, petang tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 2.34 petang sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian.

Kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Hilux, dan sebuah lori 10 tan.

Komander Operasi, PBK I Mohamud Punya, melaporkan bahawa mangsa wanita yang menaiki Myvi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.

Manakala pemandu lelaki berusia 69 tahun mengalami cedera ringan dan dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba.

Tiga lagi mangsa, iaitu dua lelaki berusia 60 dan 62 tahun yang menaiki Hilux serta pemandu lori berusia 24 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Pasukan penyelamat terdiri daripada 8 anggota BBP Lahad Datu dengan kekuatan dua jentera iaitu LFRT dan EMRS, turut melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya susulan seperti kebocoran minyak atau risiko kebakaran.

Operasi ditamatkan sebaik semua tindakan keselamatan selesai dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Exit mobile version