Site icon TUHAU BAMBANGAN

4 ditahan, cuba seludup minyak sawit bernilai RM2.33 juta di Lahad Datu

LAHAD DATU: Satu cubaan menyimpan dan memindahkan minyak sawit secara haram berjaya dipatahkan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di sebuah premis di Batu 15, Jalan Lahad Datu, pada Jumaat lalu.

Operasi yang dijalankan sekitar jam 11.40 pagi itu melibatkan kerjasama antara Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu, hasil daripada risikan serta pemantauan rapi.

Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Nazri Ibrahim, pihaknya telah menahan empat individu berumur antara 29 hingga 53 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan haram tersebut.

“Hasil serbuan, kami telah merampas sebanyak 76,800 liter minyak sawit mentah yang disimpan secara tidak sah, termasuk beberapa buah lori, tangki dan tanker yang digunakan untuk tujuan pemindahan bahan itu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.33 juta. Kes kini disiasat di bawah Peraturan 5(1)(d), Peraturan-peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005.

ACP Nazri menegaskan bahawa pihak berkuasa akan terus memperhebat operasi dan memerangi kegiatan penyeludupan demi memastikan keselamatan ekonomi serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut oleh MPOB, dan tindakan selanjutnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Exit mobile version