KOTA BELUD: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan persetujuannya terhadap kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa kerjasama antara BN dan GRS hanya akan dipertimbangkan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), sekaligus membuka ruang kepada pertarungan terbuka antara kedua-dua gabungan tersebut.
Dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tempasuk, Armizan menyatakan sokongan peribadi terhadap pendirian Bung yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah yang mempunyai autonomi politik.
“Saya bersetuju, dan hajat Bung itu perlu ditunaikan. Semua pihak perlu menghormati pendirian beliau dan memberi laluan kepada pertembungan antara GRS dan BN dalam PRN kali ini.
“Hanya melalui pertarungan sebenar, kita dapat menoktahkan siapa yang benar-benar kuat dan siapa yang hanya menumpang kekuatan pihak lain,” katanya pada Jumaat.
Menurut Armizan, pertembungan terbuka ini akan menghapuskan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kemenangan calon tertentu hanya bergantung kepada kerjasama gabungan lain, bukan kerana kekuatan sendiri.
Walaupun menyokong pertembungan dengan BN, Armizan menegaskan bahawa pendirian rasmi GRS masih terbuka kepada kerjasama sedia ada bersama parti-parti teras dalam Kerajaan Negeri hari ini, khususnya dengan Pakatan Harapan (PH).
“Kita menghargai peranan PH yang memilih untuk mengutamakan kestabilan negeri dengan menolak Langkah Kinabalu dan menyokong Datuk Seri Hajiji Noot kekal sebagai Ketua Menteri. Kerajaan hari ini berjalan dengan baik hasil kerjasama ini,” tambah beliau.
Mengulas kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, Armizan menegaskan bahawa tiada kewajipan untuk memanjangkan kerjasama tersebut ke peringkat negeri.
Beliau menjelaskan bahawa tiada klausa dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan yang mewajibkan kerjasama antara parti peringkat negeri.
“Kita memilih kerajaan negeri, bukan kerajaan persekutuan. Pertembungan sesama komponen Kerajaan Perpaduan bukan perkara baru. Ia pernah berlaku di Sabah, Melaka dan Johor,” jelas beliau.
Armizan menyimpulkan bahawa keputusan untuk bertembung atau bekerjasama tidak perlu dijadikan polemik berpanjangan.
“Sebaiknya beri pilihan seluas-luasnya kepada rakyat. Biarkan mereka menilai dan membuat keputusan. Itulah semangat demokrasi,” katanya.
Kenyataan Armizan ini dilihat selari dengan sentimen akar umbi GRS yang semakin condong untuk bertarung secara langsung dengan BN dalam PRN akan datang, demi membuktikan kekuatan sebenar di mata rakyat Sabah.

