TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencederakan dan mengugut bekas isterinya dalam satu kejadian di Batu 3, Jalan Apas, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas kira-kira jam 5 petang pada Jumaat oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di hadapan sebuah kilang di kawasan perindustrian batu 3, Jalan Apas.
Menurut ACP Jasmin, dalam kejadian pada 31 Mei lalu kira-kira jam 11 malam, suspek telah datang ke rumah bekas isterinya berusia 40-an dengan tujuan ingin berjumpa, namun adik mangsa cuba menghalang dan meminta agar suspek tidak lagi mengganggu kakaknya.
“Suspek kemudian bertindak agresif dengan menumbuk bekas adik iparnya yang berusia 25 tahun hingga menyebabkan kecederaan pada muka dan patah satu batang gigi. Mangsa turut mengalami kecederaan di muka dan hidung,” katanya.
Tambah beliau, mangsa cuba campur tangan turut ditendang di bahagian badan oleh suspek serta turut mengugut untuk membakar rumah yang didiami sekeluarga dan akan memukul mangsa sekiranya bertemu di luar.
Sementara itu, bertindak atas laporan polis yang dibuat pada 1 Jun, pihak polis melancarkan siasatan dan berjaya mengesan serta menahan suspek yang juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya lagi.
Tambahnya, semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman untuk siasatan lanjut.
ACP Jasmin turut menasihati orang ramai agar tidak berdiam diri sekiranya menjadi mangsa ugutan atau keganasan rumah tangga, sebaliknya segera tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

