TAWAU: Tindakan nekad seorang pemandu kereta melarikan diri daripada pemeriksaan polis membawa padah apabila dia bersama tiga individu lain berjaya ditahan selepas merempuh sebuah motosikal polis dan melanggar tembok bangunan kerajaan di kawasan Persisiran Traulsen di sini pada petang Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Tawau sedang menjalankan rondaan bit sebelum menahan sebuah kereta jenis Proton Saga putih dalam keadaan mencurigakan.
Menurut kenyataan pihak polis, pemandu kenderaan berkenaan bertindak agresif sebaik menyedari kehadiran anggota polis dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan.
Suspek bukan sahaja melanggar motosikal milik anggota bertugas, malah turut merempuh pembahagi jalan dan tembok sebuah bangunan kerajaan.
“Susulan tindakan itu, pihak polis berjaya menahan kenderaan terbabit dan menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 15 hingga 23 tahun,” kata jurucakap polis.
Hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada suspek merupakan warga asing yang disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai tinggal di negara ini secara haram.
Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di Balai Polis Tawau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

