LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing berumur 62 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun di Perumahan Ladang Kunawai, Lahad Datu.
Penahanan tersebut dilaksana oleh Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Lahad Lahad Datu hari ini.
Polis Lahad Datu memaklumkan kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 8.00 pagi kelmarin.
“Mangsa yang ketika itu berada di belakang rumah telah pengsan dan apabila sedar, mendapati suspek berada dalam keadaan mencurigakan di atas badannya sebelum melarikan diri.
“Susulan laporan yang dibuat oleh ibu saudara mangsa, pihak polis telah menjalankan siasatan dan menangkap suspek yang dikenali dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan lanjut, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

