Site icon TUHAU BAMBANGAN

Status projek Taman Botani Tun Fuad Stephens siap 88%, bakal jadi destinasi pelancongan berkonsep alam semula jadi

KOTA KINABALU: Projek naik taraf Taman Tun Fuad Stephens kepada taman botani kini telah mencapai 88 peratus kemajuan fizikal, menurut kenyataan rasmi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada Selasa.

Projek yang dinamakan Taman Botani Tun Fuad Stephens Sabah ini sebelum ini dijadualkan siap pada 21 Mei 2025, namun mengalami kelewatan disebabkan beberapa isu teknikal termasuk perubahan reka bentuk dan material.

Susulan itu, Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan lanjutan masa sehingga 14 Julai 2025 bagi memberi ruang kepada penyiapan kerja-kerja akhir.

Setakat ini, kerja pembinaan masih berlangsung di beberapa bahagian seperti Pusat Botani, Pusat Konservasi Tanaman, serta taman permainan interaktif ‘Botany Play Park’.

Projek ini merupakan sebahagian usaha transformasi menyeluruh menjadikan taman tersebut bukan sekadar ruang rekreasi tetapi sebagai destinasi pelancongan botani berkonsepkan alam semula jadi. Antara kemudahan baharu yang sedang disiapkan termasuk trek joging moden, plaza komersial, laluan ‘Lake Walk’, jambatan nostalgia ‘Nostalgia Bridge’, dan laluan bunga ‘floral walk’.

Menariknya, sebanyak 30,000 tumbuhan daripada lebih 500 spesies telah ditanam di sekitar taman, termasuk pokok renek, palma, teduhan, dan orkid. Tumbuhan ini ditempatkan mengikut zon bertema seperti Taman Aroid & Orkid, Taman Nadir, Taman Buluh dan Taman Ethnobotany.

DBKK dan KPKT juga menegaskan bahawa keperluan rekreasi kanak-kanak tidak dipinggirkan menerusi pembinaan ‘Botany Play Park’, sebuah taman permainan berasaskan eksplorasi dan pembelajaran alam sekitar.

Kedua-dua pihak menzahirkan komitmen untuk menyiapkan projek ini pada tahun ini, dengan menekankan aspek kualiti, keselamatan, dan keselesaan pengunjung sebagai keutamaan.

Taman Botani Tun Fuad Stephens dijangka menjadi ikon baharu pelancongan bandaraya dan salah satu tarikan landskap paling berprestij di Sabah.

Exit mobile version