Site icon TUHAU BAMBANGAN

UPPM Silam sumbang bakul makanan & kewangan melalui Ziarah Kasih ke 28 kampung

SILAM: Selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Silam telah memulakan program Ziarah Kasih ke 28 buah kampung di kawasan DUN N.62 Silam bermula kelmarin

Program yang diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Silam, Harun Batarasa, ini bertujuan untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan dan bantuan kewangan kepada penduduk yang kurang berkemampuan serta individu yang sedang sakit.

Menurut Harun, selain memberi bantuan barangan keperluan harian, lawatan ini juga merupakan usaha untuk menzahirkan keprihatinan dan menyampaikan sokongan moral kepada penduduk yang diuji dengan masalah kesihatan atau kesempitan hidup.

“Selain sumbangan, pihak UPPM turut menziarahi beberapa penduduk yang sakit di rumah mereka sebagai tanda prihatin dan sokongan moral,” jelas Harun.

Beliau turut menyatakan bahawa program ini adalah satu inisiatif kasih sayang dan penghargaan daripada UPPM dan Kerajaan Negeri Sabah kepada rakyat, terutamanya mereka yang sangat memerlukan perhatian dan bantuan.

Sumbangan dan lawatan ziarah telah dilaksanakan oleh Harun bersama semua pegawai dan kakitangan UPPM Silam secara berperingkat ke setiap kampung yang terlibat.

“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban penduduk dan menguatkan hubungan silaturahim antara rakyat dan pihak kerajaan,” tambah beliau.

Program Ziarah Kasih ini mencerminkan komitmen UPPM Silam dalam mendekati rakyat secara langsung dan menyantuni mereka yang memerlukan bantuan, sejajar dengan usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.

Exit mobile version