Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jangan mudah terpedaya dengan ‘Professor 2 minit’ Razali seru orang ramai bijak tapis maklumat

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, menggesa masyarakat, khususnya golongan muda dan Gen Z, agar lebih berhati-hati dalam menerima maklumat dari media sosial, terutama kandungan pendek oleh pempengaruh yang digelar sebagai ‘Professor 2 Minit’.

Menurut beliau, trend masa kini menunjukkan ramai pengguna lebih cenderung mempercayai video-video ringkas tanpa menyemak fakta, sekali gus membuka ruang kepada penyebaran maklumat tidak tepat, khususnya berkaitan isu politik, agama dan kesihatan.

“Sekarang ini menjadi satu trend. Tapi apa yang penting, influencer-influencer ini tidak berada di lapangan. Orang politik seperti kami turun padang, mendengar, melihat dan mengambil tindakan,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Bahagian Gagasan Rakyat Api-Api, semalam.

Razali menegaskan, budaya mengejar populariti di media sosial melalui penyebaran maklumat yang belum disahkan perlu dihentikan, dan masyarakat perlu memikul tanggungjawab dalam menyemak ketulenan fakta sebelum mempercayainya.

“Ini bukan soal populariti, tapi yang penting fakta itu perlu tepat. Apa yang benar kita maklumkan, dan apa yang tidak betul jangan digembar-gemburkan,” katanya.

Sebagai seorang peguam, beliau turut memberi peringatan bahawa pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah.

“Jangan sebab video dua minit kita terpengaruh dan diracuni oleh fakta yang tidak sahih. Kalau kami ambil tindakan menyeluruh, ramai boleh dikenakan saman,” tambah beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa amalan ‘ilmu shortcut’ bukan sahaja berisiko menyesatkan dalam isu politik, malah boleh memberi kesan negatif terhadap kefahaman berkaitan ibadah, hukum-hakam agama dan juga perubatan.

“Kita kena rajin cari ilmu. Jangan hanya percaya pada video dua minit. Ini soal masa depan, soal kefahaman, dan soal tanggungjawab,” ujarnya lagi.

Nasihat ini hadir dalam suasana menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), di mana penyebaran maklumat palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab dilihat semakin berleluasa dan berpotensi mengelirukan rakyat.

Razali menyeru rakyat Sabah agar menjadi pengguna media sosial yang bijak menapis maklumat dengan teliti dan tidak mudah terpedaya dengan kandungan viral yang belum tentu sahih.

Exit mobile version