Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ramai ‘kutu sampah’ timbul, kotorkan Taman Awam, Teluk Likas ketika musim cuti

KOTA KINABALU: Musim cuti perayaan yang sepatutnya menjadi waktu untuk bersantai dan beriadah bersama keluarga telah dicemari dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung taman awam yang membuang sampah merata-rata.

Kejadian ini dikesan di Taman Awam Teluk Likas Fasa 2, apabila pondok-pondok rehat dan kawasan sekitar taman dipenuhi sisa sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung. Tindakan tidak beretika ini telah menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung lain selain mencemarkan imej Bandaraya Kota Kinabalu.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Landskap telah bertindak segera melaksanakan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan kebersihan dan keselesaan taman dikekalkan. Namun, DBKK memandang serius sikap segelintir pihak yang mengabaikan tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan awam.

Di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Anti Sampah Sarap 1984 Pindaan 2005, individu yang didapati membuang sampah secara terbuka boleh dikenakan tindakan Compound On The Spot (COS) dengan jumlah kompaun tidak kurang daripada RM30 dan tidak melebihi RM500, bergantung kepada jenis dan kuantiti sampah yang dibuang.

Pihak berkuasa menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan taman awam bukan terletak semata-mata di bahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tetapi memerlukan kerjasama semua pihak. Kemudahan yang disediakan harus dihargai dan dijaga agar kekal selesa dan indah untuk dinikmati oleh semua.

Orang ramai diseru supaya tidak menjadi ‘kutu sampah’ dan sentiasa menggunakan tong sampah yang disediakan, demi memelihara kelestarian alam sekitar dan imej bersih bandaraya tercinta.

Exit mobile version