Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jolok mangga guna besi, lelaki maut terkena renjatan elektrik di Papar

PAPAR: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mengambil buah mangga menggunakan batang besi di Kampung Bambangan, di sini, petang tadi.

Menurut kenyataan dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak mereka menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 3.01 petang menerusi talian MERS999.

Sebaik tiba di lokasi pada jam 3.08 petang, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar mendapati mangsa tidak sedarkan diri di atas pokok selepas dipercayai terkena renjatan elektrik daripada kabel berdekatan.

“Maklumat awal mendapati mangsa memanjat pokok mangga dan menggunakan sebatang besi (penjolok besi) untuk mendapatkan buah.

“Namun, batang besi tersebut dipercayai menyentuh kabel elektrik yang berada berhampiran lalu menyebabkan mangsa terkena renjatan,” kata Komander Operasi, PPgB Rozlan Osman yang juga Ketua Balai BBP Papar dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Operasi menyelamat dijalankan selepas pengesahan pemutusan bekalan elektrik oleh pihak Sabah Electricity (SE).

Pasukan bomba menggunakan tangga dan tali penyelamat untuk menurunkan mangsa dari pokok.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.29 petang. Turut sama di lokasi adalah tiga anggota KKM, tiga anggota PDRM serta dua wakil daripada SESB.

JBPM menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan penggunaan objek konduktif seperti besi berhampiran sumber elektrik, terutama ketika melakukan aktiviti di luar rumah.

Exit mobile version