Site icon TUHAU BAMBANGAN

Faktor GPS Tidak Sokong Mohd Shafie Apdal

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dikatakan gagal menarik sokongan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri, mengundang persoalan walaupun kedua-duanya pemimpin dari Borneo.

Pensyarah Kanan Ilmu Politik dan Ketua Penyelidik GeOPeS (Sabah Geo-Politics & Electoral Studies) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Zaini Othman, berkata terdapat dua faktor utama GPS dikatakan tidak menyokong Mohd Shafie.

Katanya, ini berikutan GPS dengan jelas sewaktu pembentukan gagasan itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, yang antara lain menyatakan prinsip ‘Tiada DAP’.

“Sekiranya GPS menyokong Shafie selaku calon Perdana Menteri, bermakna GPS secara tidak langsung melanggar prinsip ‘Tiada DAP’ yang mereka dukung. Kita tahu WARISAN yang dipimpin oleh Shafie sama ada pada peringkat Sabah atau Persekutuan, sangat dekat dengan DAP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zaini berkata, faktor kedua pula dipercayai ada kaitan dengan strategi jajaran politik yang dibentuk GPS selepas PRU Ke-14, iaitu bersifat ‘Kepentingan Sarawak Dulu’.

Katanya, ini diperkukuh lagi apabila GPS bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN) selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari 2020.

“Permintaan GPS ketika dalam PN yang bersifat ‘Kepentingan Sarawak Dulu’ dapat diperjuang dengan baik, khususnya aspek autoriti Sarawak dalam hak kewangan, ekonomi dan identiti Sarawak dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), berbanding pentadbiran politik sebelum ini.

“GPS tidak mahu kepentingan yang diusahakan itu terencat, sekiranya mereka beralih jajaran ikatan politik.

“Atas situasi itu, saya lihat pertimbangan utama GPS tidak memberi sokongan kepada Mohd Shafie selaku calon Perdana Menteri ke-9, walaupun kedua-duanya dari Borneo,” katanya.

Zaini berkata, naratif politik Malaysia akan beralih paksi ke Sabah atau Sarawak, sekiranya Mohd Shafie menjadi Perdana Menteri.

“Ini disebabkan naratif politik antara lainnya persoalan federalisme, selain daripada persoalan seperti etnik, ekonomi dan juga demokrasi itu sendiri.

“Maksudnya, sesiapa sahaja yang menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri, tidak kira dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung, persoalan yang saya nyatakan itu akan tetap diangkat sebagai paksi utama politik Malaysia.

“Tidak dapat dinafikan juga sekiranya jawatan Perdana Menteri disandang oleh individu dari Borneo, persoalan yang terkait dengan federalisme seperti hak negeri dan MA63 bakal mendapat fokus yang lebih dominan, berbanding sebelumnya,” katanya.

Exit mobile version