KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa pihaknya tidak terdesak atau “terhegeh-hegeh” dalam mencari rakan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), sebaliknya kekal fokus kepada penyampaian khidmat dan aspirasi rakyat Sabah.
Setiausaha Eksekutif GRS, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, tumpuan utama GRS ketika ini adalah untuk terus bekerja dan mendekati rakyat secara konsisten di peringkat akar umbi, bukan sekadar berpolitik atau mencipta persepsi di media.
“Kita tidak terhegeh-hegeh untuk mencari partners. Formula sekarang adalah formula yang berkesan, GRS-PH Plus. Full stop. Sama ada pihak lain mahu atau tidak, itu hak mereka. Kami tidak mencari kerjasama demi kepentingan politik semata-mata,” katanya kepada media di sini, semalam.
Mengulas kenyataan Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Musliati Moslimin yang mendakwa UMNO seperti dikhianati, Razali berkata semua pihak bebas memberi pandangan, namun GRS lebih memilih untuk membuktikan kesungguhan melalui tindakan.
“We are not looking for partners. Kita fokus pada kerja, bukan berfantasi. We walk the talk. Apa yang penting adalah menyelesaikan isu rakyat Sabah. Kita tidak mahu menjadi juara di media, kita mahu menjadi juara rakyat di bawah. Kita bukan orang maya, kita hadir secara fizikal di lapangan,” tegas beliau.
Mengulas dakwaan kononnya GRS hanya “serpihan”, Razali menyifatkan itu hanya retorik lama yang tidak relevan lagi dengan landskap politik Sabah hari ini.
“Itu komen serpihan. Apa yang kita buat adalah hasil kehendak rakyat Sabah. Mereka mahukan perubahan, maka kita bentuk parti berdasarkan kandungan lokal. Kita tidak bercakap tentang kejayaan masa lalu, kita bergerak ke depan. Sabahans want new,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyebut kemungkinan untuk kerjasama selepas PRN, Razali berkata, keputusan hanya akan dibuat apabila tiba masanya.
“Bila sampai masa itu, kita akan buat keputusan. Fokus kita sekarang, bagaimana kita membantu rakyat. Kita tidak tekankan politik semata-mata,” katanya ringkas.
Razali turut menegaskan bahawa GRS melalui Gagasan Rakyat bergerak secara konsisten dan bukan bermusim dengan kehadiran yang nyata di lapangan.
“Kita tidak bergerak secara kosmetik atau optik. Kita bersama rakyat secara harian. Rakyat sudah bosan dengan retorik. Kita nak tunjuk budaya baharu bekerja, bukan hanya berkata-kata,” ujarnya.
Dengan PRN17 semakin hampir, kenyataan tegas ini memperlihatkan hala tuju GRS yang lebih menumpukan kepada kestabilan, pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah, berbanding permainan persepsi politik semata-mata.

