Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRN Sabah: “Itu pandangan Bung, GRS belum buat keputusan mengenai kerjasama” – Hajiji

TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menegaskan bahawa gabungan itu masih belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang dijangka bakal berlangsung hujung tahun ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang memaklumkan bahawa UMNO hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN.

“Itu adalah pandangan Datuk Bung,” kata Hajiji kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan 200 ekor Lembu Korban di Tuaran, pagi tadi.

Menurut Hajiji, sebarang keputusan berhubung kerjasama politik, termasuk agihan kerusi dan hala tuju GRS dalam PRN-17 akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“GRS belum lagi buat sebarang keputusan. Ahli Majlis Tertinggi GRS akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN-17, termasuk siapa dan parti apa yang akan menjadi rakan kerjasama menentukan agihan kerusi dan lain-lain,” jelas beliau.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, segala keputusan akan dibuat secara kolektif demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.

Kenyataan ini sekali gus memberi gambaran bahawa GRS mengambil pendekatan berhati-hati dan strategik dalam menentukan rakan gabungan untuk menghadapi PRN-17 yang dijangka menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti utama di Sabah.

Exit mobile version