KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titngan mengingatkan UMNO Sabah agar menerima hakikat bahawa mereka bukan lagi “abang besar” dalam politik negeri ini, sebaliknya kini sekadar sebahagian kecil dalam landskap politik baharu yang lebih terbuka dan dinamik.
Dalam satu kenyataan tegas, beliau membidas dakwaan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin, yang mempertahankan UMNO kononnya bukan “alat politik” atau “pembeli janji palsu”, dengan menyifatkannya sebagai satu cubaan memanipulasi naratif demi meraih simpati.
“UMNO tidak boleh terus bermain watak mangsa sedangkan mereka sendiri pernah menulis skrip politik penuh kelompongan,” kata Nizam dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau merujuk kepada insiden semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, apabila UMNO dan Barisan Nasional bersetuju bertanding di 27 kerusi tetapi kemudian melanggar persefahaman dengan bertanding di 41 kerusi. Tindakan itu, menurutnya, membuka ruang kepada perpecahan awal dalam kerjasama politik ketika itu.
Lebih mengejutkan, kata Nizam, Musliati langsung tidak menyentuh episod ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023, yang melibatkan cubaan beberapa pimpinan UMNO termasuk Datuk Bung Moktar Radin untuk menggulingkan kerajaan sedia ada, sekali gus mengancam kestabilan negeri dan mandat rakyat.
“Jika mahu bercakap soal maruah dan prinsip, UMNO sepatutnya terlebih dahulu menilai tindak-tanduk mereka sendiri,” katanya.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS), walaupun dianggap “serpihan” oleh Musliati, sebenarnya mempunyai jumlah kerusi tertinggi dalam Dewan Undangan Negeri dan secara demokratik berhak menentukan Ketua Menteri Sabah. “Ini bukan soal pengkhianatan, tetapi prinsip demokrasi,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu turut menyindir sikap sesetengah pimpinan UMNO yang masih belum dapat menerima bahawa kedudukan dominan mereka dalam politik Sabah sudah lama berlalu.
“UMNO Sabah perlu sedar bahawa mereka bukan lagi kuasa penentu. Rakyat sudah muak dengan skrip lama yang hanya berubah pelakon tetapi masih membawa naratif lapuk,” tambahnya.
Mengakhiri kenyataan, beliau menegaskan bahawa kerajaan GRS kini memilih untuk bergerak ke hadapan dengan membina kerjasama strategik bersama Pakatan Harapan demi kestabilan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
“Kuasa sebenar bukan pada parti atau individu, tetapi di tangan rakyat Sabah. Biarlah mereka menilai siapa yang benar-benar berkhidmat dan siapa yang hanya pandai bermain persepsi,” katanya.

