Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tolak cinta sepupu, ‘Influencer’ TikTok maut ditembak lepas sambut birthday

ISLAMABAD: Seorang pempengaruh TikTok berusia 17 tahun, Sana Yousaf, maut ditembak di kediamannya di Seksyen G-13, Islamabad, pada malam 2 Jun lalu yang mana kejadian berlaku hanya beberapa jam selepas beliau meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-17.

Sana Yousaf berasal dari Upper Chitral, Khyber Pakhtunkhwa dan merupakan anak kepada seorang aktivis sosial tempatan.

Beliau dikenali melalui platform TikTok dan Instagram dengan lebih 800,000 pengikut, menghasilkan kandungan yang mempromosikan budaya Chitrali, hak wanita, dan pendidikan. Sana juga merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang perubatan.

Menurut laporan polis, suspek yang dikenali sebagai Umar Hayat, 22 tahun, merupakan sepupu kepada mangsa. Pada hari kejadian, beliau datang ke rumah Sana dan berbual dengannya di luar rumah sebelum masuk dan menembak mangsa dua kali pada jarak dekat.

Sana meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayatnya dihantar ke Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) untuk bedah siasat.

Polis Islamabad melancarkan operasi memburu suspek dan berjaya menahannya di Faisalabad dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian. Senjata api yang digunakan serta telefon bimbit mangsa turut dirampas.

Suspek mengaku membunuh Sana selepas berulang kali ditolak dalam usahanya untuk menjalin hubungan dengannya. Pihak berkuasa juga sedang menyiasat kemungkinan motif pembunuhan berkaitan dengan “pembunuhan demi maruah” (honour killing).

Berita kematian tragis Sana Yousaf mencetuskan kemarahan dan kesedihan di kalangan masyarakat dan pengguna media sosial. Hashtag #JusticeForSanaYousaf menjadi trending di platform seperti X dan Instagram, dengan ramai yang menuntut keadilan dan perlindungan lebih baik untuk wanita serta pempengaruh media sosial di Pakistan.

Insiden ini menyorot isu keselamatan wanita dan pempengaruh muda di Pakistan, serta keperluan untuk tindakan tegas terhadap keganasan berasaskan jantina.

Sumber: timesofindia

Exit mobile version