SEMPORNA: Cubaan dua lelaki warga asing untuk menyeludup masuk pelbagai barangan kosmetik bernilai lebih RM150,000 ke perairan negara ini gagal apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam berhampiran perairan utara Pulau Mataking, sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan rondaan rutin telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum melakukan pemeriksaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan terhadap bot tersebut menemukan 36 kotak berisi pelbagai barangan kosmetik yang dipercayai cuba diseludup dari negara jiran tanpa sebarang dokumen sah.
“Juragan bot gagal mengemukakan dokumen pemilikan, pendaftaran, resit pembelian atau sebarang bukti kebenaran untuk membawa masuk barangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua lelaki warga Filipina berusia 49 dan 52 tahun yang berada di dalam bot tersebut turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Turut dirampas ialah sebuah perahu kayu berwarna biru bersama enjin sangkut 40 kuasa kuda, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM153,872.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, manakala kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.
Menurut Mohd Nazri, pihaknya akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan perairan Sabah bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan di perairan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

