Site icon TUHAU BAMBANGAN

“Anggun tanpa jadi seksi, didengari tanpa perlu tinggikan suara” – Joanna tegaskan UNK tahun depan kembali ikut asas budaya, tradisi

KOTA KINABALU: Unduk Ngadau Sabah perlu dikekalkan sebagai pertandingan ratu cantik berasaskan budaya dan tradisi, bukannya terikut-ikut dengan gaya pertandingan antarabangsa yang penuh kemeriahan dan kemegahan, tegas Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah 2025, Datuk Joanna Kitingan.

“Selepas 65 tahun, kita sepatutnya mengangkat Unduk Ngadau ke tahap lebih tinggi dari segi keanggunan dan kelembutan, bukannya mengikut arus pertandingan lain,” katanya.

Joanna turut menekankan bahawa sejak dahulu lagi Unduk Ngadau telah menjadi simbol wanita yang lemah lembut namun kuat dan berwibawa, seumpama bobolian yang memiliki kuasa spiritual dalam budaya Kadazandusun.

Tidak seperti pertandingan antarabangsa yang menampilkan gaya perkenalan diri yang lantang dan dramatik, Unduk Ngadau menonjolkan sifat sederhana, nilai warisan serta jati diri budaya.

Bagaimanapun, Joanna melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan peserta Gala Night baru-baru ini memperkenalkan diri secara flamboyan dan kuat, yang menurutnya mencemari keaslian dan keunikan pertandingan itu.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai perubahan tersebut semasa sesi raptai dan amat terkejut apabila melihat persembahan yang jauh menyimpang daripada nilai asal. Bila kita lihat kembali, keanggunan Unduk Ngadau semakin hilang, terutamanya apabila mengenakan pakaian petang etnik kontemporari.

“Saya sentiasa tekankan, biarlah anggun tanpa menjadi seksi, didengari tanpa perlu meninggikan suara. Natagak nodi iti’, ini sudah hilang,” ujarnya, merujuk kepada kehilangan identiti budaya dalam pertandingan itu.

Beliau turut mengakui bahawa terdapat persoalan dalam kalangan netizen sama ada Unduk Ngadau kini sedang kehilangan arah dan terikut-ikut dengan konsep pertandingan ratu cantik biasa yang tiada asas budaya atau sistem kepercayaan.

Justeru, Joanna menegaskan bahawa edisi tahun hadapan akan dikembalikan kepada asas keanggunan dan kesederhanaan yang menjadi tunjang Unduk Ngadau sejak mula diperkenalkan.

Sumber: Borneo Post

Exit mobile version