KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di pantai timur Sabah berada pada tahap tertinggi dan terkawal, tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau menyatakan demikian semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim di pejabatnya di Menara Kinabalu hari ini.
Dalam pertemuan itu, Hajiji turut melahirkan kegembiraan dengan peningkatan ketibaan pelawat dari Perancis ke Sabah, menjadikannya destinasi ketiga tertinggi bagi pelawat Eropah selepas United Kingdom dan Jerman.
Pada suku pertama 2025, ketibaan pelawat dari Perancis meningkat sebanyak 26.8 peratus kepada 2,116 orang berbanding 1,669 dalam tempoh sama tahun lalu. Hajiji optimis bahawa promosi yang berterusan secara lebih agresif akan terus meningkatkan jumlah ini.
Pertemuan turut membincangkan potensi kerjasama strategik antara Sabah dan Perancis, khususnya dalam sektor pelancongan yang dijangka memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Datuk Eldeen, anak kelahiran Kuala Lumpur, dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis pada April 2024, selepas pernah berkhidmat sebagai Duta Besar ke Kemboja dan memegang beberapa jawatan diplomatik penting lain.

