KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mempersoalkan dan menuntut agar kerja-kerja pembaikan jalan raya perlu dilakukan dengan adil tanpa sebarang diskriminasi terhadap perbezaan fahaman politik.
“Saya lihat ada kerja-kerja membaik pulih jalan-jalan berlubang sedang dijalankan di pelbagai tempat, termasuklah pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, namun begitu, berbeza di jalan-jalan utama di kawasan saya, khususnya di sekitar Bukit Garam, Sukau dan laluan utama dari Sandakan ke Lahad Datu yang melalui kawasan Kinabatangan, langsung tidak diberikan perhatian,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Bung yang juga Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, hingga ke hari ini, tiada sebarang tanda bahawa kerja-kerja baik pulih atau penyelenggaraan akan dijalankan sambil menekankan bahawa jalan raya di kawasan tersebut sangat rosak, berlubang-lubang dan membahayakan pengguna.
“Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur politik kepartian dalam pengagihan kerja-kerja penyelenggaraan ini. Adakah kawasan saya sengaja disisihkan hanya kerana perbezaan politik? Ini tidak sepatutnya berlaku. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat, bukan berdasarkan siapa wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Saya ingin menegaskan bahawa tanggungjawab membaiki dan menyelenggara jalan raya terletak pada Kerajaan Negeri melalui agensi yang bertanggungjawab iaitu JKR Negeri Sabah. Jalan raya yang rosak bukan hanya menyusahkan rakyat, malah boleh mencetuskan kemarahan kerana seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap keperluan asas mereka.
“Oleh itu, saya memohon dan mendesak agar Kerajaan Negeri Sabah segera melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan di kawasan Kinabatangan, termasuk di kawasan bulatan Pekan Bukit Garam dan kawasan bulatan menuju simpang Sukau, tanpa sebarang diskriminasi politik,” tegasnya lagi.

