TAWAU: Seorang lelaki tergamak memukul bapa kandungnya sendiri ditahan dalam kejadian di Kampung Pitas, Bombalai, pada pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, apabila suspek berusia 23 tahun bertindak menumbuk bapanya tanpa sebab menyebabkan mangsa warga emas berusia 60-an cedera parah di muka dan kepala.
Katanya, bertindak atas laporan yang dibuat, sepasukan polis dari Balai Bombalai berjaya mengesan suspek kurang dua jam di kawasan perumahan pekerja di sekitar kawasan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.
“Ketika tangkapan hendak dilakukan suspek juga cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan,” katanya.
Jelasnya, suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan.
Tambah ACP Jasmin, beliau menyeru orang ramai supaya peka terhadap kesihatan mental dan kawalan emosi dalam kalangan keluarga serta dapat menyelesaikan permasalahan dalam kalangan keluarga secara matang.

