Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tengku Zafrul kekal menteri, beliau jalankan tugas dengan baik – Anwar

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa khidmat Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan diteruskan kerana beliau telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam portfolio yang disandang.

Menurut Anwar, walaupun Tengku Zafrul telah mengumumkan keluar daripada UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), perkara itu tidak menjejaskan kedudukan beliau dalam Kabinet.

“Tengku Zafrul menjalankan tugas dengan baik. Pelaburan negara berjumlah ratusan bilion ringgit banyak juga dikendalikan dengan usaha beliau, MITI, Matrade dan kerajaan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Anwar memaklumkan bahawa perbincangan rasmi mengenai penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR belum diadakan memandangkan beliau kini sedang menunaikan ibadah haji.

“Kita belum bincang apa-apa pun sebab dia menunaikan ibadat haji, maka biar dulu,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak agar menghormati keputusan Tengku Zafrul dan tidak membuat pelbagai spekulasi yang boleh mencetuskan ketidaktentuan politik.

Sebelum ini, Tengku Zafrul yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengumumkan peletakan semua jawatan dan keahliannya dalam parti tersebut. Perkara itu telah disahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang memaklumkan telah menerima surat rasmi peletakan jawatan tersebut.

Exit mobile version