KOTA KINABALU: Graduan Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Atitih Yatih Robert mewakili daerah kecil Tamparuli telah dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2025 dalam acara kemuncak Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang, semalam.
Beliau menewaskan 51 finalis dari seluruh Sabah dan luar negeri untuk meraih gelaran berprestij ini.
Atitih menerima hadiah utama bernilai lebih RM100,000, termasuk wang tunai RM15,000, trofi, tiara, sepersalinan UNK2025, baucar pendidikan dari ATI dan NBUC bernilai RM35,000, rawatan penjagaan gigi ClearCorrect bernilai RM20,000, penginapan 3 hari 2 malam di Taman Badukan Riverside Resort, serta tiket penerbangan pulang ke Korea Selatan tajaan Trippo.
Manakala tempat kedua dimenangi oleh Elka Alika Pijeh mewakili Tambunan, dan tempat ketiga diraih oleh Celarin Jenny mewakili Kiulu.
Rini Swanda Jukilin (Beluran), Steavaynie Ginadus (Beaufort), Jenylin Janis (Ranau), dan Evanatie Sannie (Bandaraya Kota Kinabalu) melengkapkan senarai tujuh terbaik.
Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2025 juga menyaksikan pelaksanaan sistem penjurian digital inovatif, e-Unduk, yang dibangunkan oleh pakar IT tempatan Ts. Aedeshie Daisy Rayner.
Sistem ini bertujuan meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam proses penjurian, selaras dengan transformasi digital budaya tempatan.

