TAWAU: Semasa menjalankan tugasan rondaan pencegahan jenayah, MPV Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Tawau telah menerima makluman daripada Gerakan Tawau berkenaan seorang lelaki mengamuk di Taman Wawasan.
Setiba di lokasi, polis telah menahan suspek seorang lelaki tempatan berusia 40-an bagi tujuan pencegahan jenayah dan mengesyaki suspek telah memasukkan bahan terlarang ke dalam tubuh badan.
Dalam pada itu juga, MPV BPJKK IPD Tawau turut menerima makluman mengenai aduan orang mengamuk di Kampung Buton.
Polis segera bergerak ke lokasi dan menahan seorang lelaki warga asing berusia awal 20-an bagi tujuan pencegahan jenayah dan keselamatan penduduk sekitar.
Kedua-dua suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut manakala saringan awal ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

