Site icon TUHAU BAMBANGAN

Isu air UMS: Masalah bukan berpunca dari sistem dalaman – Rahman Dahlan

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil memberikan penjelasan berhubung isu gangguan bekalan air yang berlarutan di kampus induk itu dengan menegaskan bahawa masalah utama bukan berpunca daripada sistem pam dalaman universiti, sebaliknya disebabkan paras air tidak konsisten di Tangki R13 yang merupakan sumber utama bekalan air ke UMS.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, universiti memaklumkan bahawa paras air di Tangki R13 sering kali berada di bawah tahap minimum, menyukarkan proses pengepaman ke dalam sistem bekalan air dalaman kampus.

“Paras air tidak berada dalam keadaan optimum pada kebanyakan masa. Kami mempunyai dokumentasi bergambar serta data teknikal yang menunjukkan situasi ini dan bersedia untuk dikongsi dengan pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS),” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau turut menjawab kenyataan JANS bahawa sebanyak 34 juta liter air dibekalkan ke Tangki R13 setiap hari, sedangkan keperluan harian UMS hanya sekitar lima juta liter.

“Tangki tersebut bukan digunakan secara eksklusif oleh UMS, sebaliknya turut menjadi sumber air kepada beberapa kawasan pesat membangun di utara Kota Kinabalu seperti Sepanggar, KKIP, taman-taman perumahan dan Hospital Likas.

“Fakta menunjukkan UMS tidak dapat mengepam air dari tangki tersebut apabila parasnya rendah, terutama pada waktu puncak,” jelas kenyataan itu lagi.

Pihak JANS juga sebelum ini menyarankan agar UMS menaik taraf sistem pam air sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan pengepaman, namun menurut UMS, tiga pam sedia ada masih berfungsi dengan baik.

“Buktinya, setiap kali paras air dalam tangki mencukupi, tiada masalah pengepaman berlaku. Ini membuktikan isu sebenar terletak pada kuantiti air yang tidak mencukupi, bukan pada sistem pam,” jelasnya.

UMS turut memaklumkan bahawa pihaknya dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya Sabah bahawa masalah ini dijangka selesai dalam tempoh dua bulan selepas Loji Rawatan Air Telibong 2 Fasa 2 mula beroperasi sepenuhnya.

Loji tersebut dijangka menyumbangkan sehingga 80 juta liter air sehari kepada kawasan utara Kota Kinabalu, termasuk UMS.

Sementara itu, bagi mengurangkan kesan gangguan air yang memberi tekanan kepada lebih 10,000 warga kampus, UMS katanya telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif termasuk pembinaan tangki imbangan baharu berkapasiti 3.5 juta liter sehari lengkap dengan sistem pam moden; penggunaan sumber alternatif seperti telaga tiub (tubewell); dan pengagihan air minuman berbotol serta penyediaan lori tangki air dengan kerjasama JANS.

Exit mobile version