TAWAU: Dakwaan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal bertanding di 52 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) di 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 disifatkan sebagai spekulasi politik semata-mata.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai pembahagian kerusi antara dua gabungan politik itu.
“Selagi belum ada pengumuman rasmi, kita anggap ia hanya spekulasi. Perkara seperti ini memang biasa timbul menjelang PRN, namun jangan biarkan ia menjejaskan fokus terhadap usaha pembangunan dan penyatuan rakyat di Sabah,” katanya ketika ditemui pada Pesta Kebudayaan Hari Bergembira Etnik Tidung Borneo Sabah 2025 di sini, hari ini.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, keputusan rasmi mengenai agihan kerusi dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh pimpinan tertinggi GRS dan PH.
“Saya yakin Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam konteks politik semasa, keutamaan perlu diberikan kepada aspirasi rakyat Sabah, selain memastikan negeri ini diterajui oleh anak tempatanbyang memahami budaya serta keperluan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
Dalam perkembangan lain, Nizam turut memuji penganjuran pesta kebudayaan yang disifatkan sebagai platform penting untuk memperkukuh perpaduan rakyat.
“Penganjuran pesta seperti ini membuktikan bahawa budaya bukan sekadar warisan sejarah, tetapi juga elemen penting dalam membentuk jati diri serta memperkukuh persefahaman antara rakyat pelbagai kaum di Sabah,” katanya.
Beliau berharap acara seperti ini dapat diteruskan sebagai program tahunan dengan sokongan penuh daripada pihak berkaitan.

