KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, dan ahli parti UMNO secara keseluruhan.
Dalam satu kenyataan rasmi, Tengku Zafrul berkata beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada pucuk pimpinan parti. Jelasnya, keputusan berkenaan dibuat selepas melalui proses pertimbangan dan muhasabah diri yang panjang.
“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari Presiden, Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri,” katanya.
Tengku Zafrul, yang telah menjadi ahli UMNO sejak tahun 1997, menyifatkan UMNO sebagai satu-satunya parti politik yang pernah disertainya, namun begitu, beliau berkata keputusan meninggalkan parti dibuat selepas mengambil kira faktor keserasian dan kesesuaian.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan akan mengikuti proses permohonan biasa untuk menjadi ahli parti tersebut.
“Saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan, penyokong serta ahli-ahli UMNO yang telah memberikan sokongan dan dorongan sepanjang penglibatannya dalam parti itu.
“Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya lagi.
Langkah Tengku Zafrul ini dijangka memberi impak kepada lanskap politik nasional, khususnya dalam konteks kerjasama antara kerajaan dan parti politik utama. Penyertaannya ke dalam PKR juga membuka ruang spekulasi mengenai peranan baharu beliau dalam parti tersebut serta hala tuju politiknya menjelang pilihan raya akan datang.

