Site icon TUHAU BAMBANGAN

Penjawat awam antara 4 ditahan proses air ketum & jual RM20 sebotol

TAWAU: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang penjawat awam dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Kampung Kinabutan Kecil, Batu 4, Jalan Apas, selepas disyaki terlibat dalam penggunaan serta penyimpanan dan pengedaran air ketum, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, serbuan kira-kira jam 2.00 petang itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau menerusi hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek ditemui sedang duduk di bawah rumah berkenaan. Pemeriksaan awal terhadap keempat-empat lelaki terbabit tidak menemukan sebarang barang salah. Namun, pemeriksaan lanjut menemukan tiga botol berisi cecair berwarna keperangan disyaki air ketum di atas sebuah meja.

“Susulan soal siasat terhadap salah seorang suspek, polis menemukan sebuah tong biru mengandungi 66 botol plastik 1.5 liter yang turut berisi cecair disyaki air ketum dengan jumlah keseluruhan isi padu lebih 101 liter air ketum dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1,400,” katanya.

Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 39 tahun masing-masing merupakan warganegara yang juga penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, suspek turut mengaku memproses sendiri air ketum sebelum dijual kepada penagih tempatan dengan harga RM20 sebotol, manakala dua lagi suspek mengaku terlibat dalam penagihan air ketum sejak setahun lalu.

Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, manakala semakan rekod lampau tidak menemukan sebarang kesalahan jenayah.

ACP Jasmin turut menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan bahan larangan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.

Exit mobile version