Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis rampas dadah bernilai lebih RM119,000 di Penampang, 2 lelaki tempatan ditahan

PENAMPANG: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah menerusi serbuan di sebuah premis hiburan di daerah ini.

Dalam operasi yang dijalankan pada 28 Mei itu, pihak polis merampas pelbagai jenis dadah dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM119,400 dan menahan dua lelaki warga tempatan berumur 31 dan 49 tahun.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata kejayaan itu merupakan hasil risikan dan pemantauan berterusan pihak polis terhadap aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan hiburan.

“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemui sejumlah besar dadah disyaki jenis ekstasi, ketamin serta pil Erimin 5. Kedua-dua suspek ditahan di lokasi dan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada malam Khamis.

Butiran Rampasan termasuklah serbuk disyaki ekstasi – 5,727 gram; dadah disyaki ketamin – 32.58 gram; pil Erimin 5 – 18 biji (6.23 gram); dan pil ekstasi – 11 biji (5.00 gram).

Hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif pelbagai jenis dadah. Suspek pertama disahkan positif methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek kedua positif methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

Pemeriksaan rekod jenayah mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta minimum 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga dua tahun jika sabit kesalahan.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut,” ujar Sammy lagi.

Beliau turut menyeru orang awam agar terus bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha membanteras jenayah berkaitan dadah dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui aktiviti yang mencurigakan di kawasan masing-masing.

“Polis komited untuk terus menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan Penampang bebas daripada ancaman jenayah dadah,” tegas beliau.

Exit mobile version