Site icon TUHAU BAMBANGAN

Agenda pembangunan akan berkesan dengan sokongan padu & hubungan erat antara kerajaan Negeri & Persekutuan – Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. (Photo kredit: Polis Sabah)

PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan bahawa keberkesanan pelaksanaan agenda pembangunan negeri amat bergantung kepada sokongan padu dan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, kerjasama yang kukuh antara kedua-dua pihak bukan sahaja mempercepatkan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan, malah memastikan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat di peringkat akar umbi.

“Saya amat yakin hubungan yang kukuh dan erat dengan Kerajaan Persekutuan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan dasar-dasar pembangunan negeri. Ia penting dalam memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat secara langsung,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang, hari ini.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merasmikan sambutan pesta berkenaan.

Dalam ucapannya, Hajiji menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited memperkasa sosioekonomi luar bandar menerusi pelbagai pendekatan strategik, termasuk pemodenan pertanian, galakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta pembangunan pelancongan komuniti.

“Ini bukan sahaja membolehkan rakyat luar bandar meningkatkan pendapatan tetapi juga membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah,” tambah beliau.

Hajiji turut memaklumkan bahawa pengaktifan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah adalah sebahagian daripada strategi keterjaminan makanan negeri. Usaha ini menyasarkan peningkatan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras tempatan kepada 30 peratus menjelang tahun depan dan 60 peratus menjelang 2030.

“Langkah ini penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh bekalan makanan tempatan,” ujarnya.

Mengulas mengenai sambutan Pesta Kaamatan, Hajiji menyifatkan ia bukan sekadar perayaan budaya tetapi simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah.

Tema sambutan tahun ini, “Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan”, menandakan ulang tahun ke-65 sejak Kaamatan diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1960.

“Kaamatan bukan milik satu kaum semata-mata, tetapi milik semua rakyat Sabah. Ia mencerminkan semangat muhibbah dan keharmonian yang menjadi asas kestabilan negeri ini,” tegas beliau.

Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kehadiran dan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Sabah.

Exit mobile version