TAWAU: Tindakan pantas pasukan polis berjaya menggagalkan cubaan lima warga asing meloloskan diri daripada sekatan jalan raya dalam kejadian dramatik kejar-mengejar sejauh lebih 45 kilometer di sekitar daerah Tawau, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku sekitar jam 8 malam apabila sebuah kereta Proton Saga putih bertindak mencurigakan dan enggan berhenti ketika diarahkan di sekatan jalan raya yang dijalankan di kawasan Industri Megah, Jalan Tiku.
“Pemandu bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya dan melarikan diri. Polis terus mengejar melalui beberapa laluan utama sebelum berjaya memintas dan menahan kenderaan tersebut di Batu 12, Jalan Apas,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut dinaiki oleh lima individu, terdiri daripada seorang pemandu lelaki dan empat penumpang (dua lelaki, dua wanita) berusia antara 29 hingga 43 tahun, kesemuanya warga asing tanpa sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah.
Lebih mengejutkan, pemandu turut tiada lesen memandu dan kenderaan tidak mempunyai cukai jalan yang sah.
Kes kini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 – melarikan diri daripada sekatan jalan raya; Seksyen 186 Kanun Keseksaan – menghalang penjawat awam menjalankan tugas; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 – masuk dan berada di negara ini tanpa dokumen sah; dan Seksyen 26 dan 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 – memandu tanpa lesen dan cukai jalan.
Tambah ACP Jasmin, tiada kecederaan dilaporkan terhadap suspek mahupun anggota polis sepanjang operasi tersebut.
Kejadian itu turut menjadi tular di media sosial, selepas video aksi kejar-mengejar membabitkan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dimuat naik oleh orang awam.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang cubaan melanggar undang-undang dan menyeru masyarakat agar terus memberikan kerjasama dalam operasi sekatan jalan raya,” tegas beliau.

