Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bekalan air ke UMS mencukupi, isu pengepaman perlu diatasi pihak universiti – Jabatan Air

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hari ini menjelaskan bahawa bekalan air yang disalurkan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Tangki R13 adalah mencukupi dan tidak pernah berada di bawah paras kritikal yang boleh menjejaskan operasi pengepaman.

Menurut Pengarah JANS dalam kenyataan media yang dikeluarkan, keperluan air harian UMS hanyalah sekitar 5 juta liter sehari (MLD), manakala jumlah bekalan yang tersedia di Tangki R13 melebihi keperluan tersebut.

“Air di Tangki R13 sentiasa mencukupi dan tidak pernah kosong. Ia mampu menampung permintaan semasa UMS tanpa sebarang masalah dari segi bekalan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan JANS itu di sini, hari ini.

JANS bagaimanapun menasihatkan pihak UMS untuk meningkatkan keupayaan sistem pengepaman dalaman agar dapat menyedut air dengan lebih efisien dari tangki berkenaan.

“Jika pam sedia ada tidak lagi mampu memenuhi keperluan semasa, maka UMS perlu mengambil langkah untuk menggantikannya dengan pam berkapasiti tinggi atau yang lebih cekap,” tambah kenyataan itu lagi.

Difahamkan, pihak UMS kini sedang membina sebuah tangki baharu serta memasang pam tambahan sebagai langkah proaktif untuk menangani isu bekalan air yang dilaporkan sebelum ini.

Dalam kenyataan sama, JANS turut memberi jaminan bahawa pihaknya komited terhadap ketelusan, kecekapan teknikal serta kerjasama profesional bersama UMS bagi memastikan kebajikan pelajar, warga kampus dan masyarakat umum sentiasa terpelihara.

“JANS kekal bekerjasama rapat dengan pihak UMS dalam mencari penyelesaian jangka panjang yang terbaik demi kepentingan bersama,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan ini hadir susulan rungutan daripada beberapa pihak dalam komuniti kampus UMS mengenai gangguan air yang berlaku kebelakangan ini.

Exit mobile version