KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Dr. Ramzah Dambul, tampil memberikan teguran terhadap konsep pengenalan Sodop Unduk Ngadau Kaamatan 2025 yang menurutnya telah menyimpang jauh daripada asas budaya dan nilai sosiobudaya komuniti Momogun.
Dalam satu kenyataan terbuka, Dr. Ramzah mempersoalkan keputusan pihak penganjur yang memperkenalkan elemen peragaan ala-ala pertandingan antarabangsa seperti Miss Universe, yang disifatkannya “menciplak dan ikut-ikutan” serta bercanggah dengan prinsip asal Unduk Ngadau.
“Kalau tengok tiga kali, ada juga mirip-mirip Miss Transgender Siam,” tulis beliau secara sinis. “Songgiak-giak, miagal poh tanak do rogon,” tambahnya, menggambarkan kekecewaan terhadap arah tuju acara tersebut.
Menurut beliau, sejak awal penganjurannya pada era 1960-an sebagai Miss Kadazan, acara itu telah melalui pelbagai fasa pembaharuan yang membawa masyarakat semakin dekat kepada nilai dan simbolik komuniti Momogun – terutamanya selepas penjenamaan semula sebagai Unduk Ngadau pada tahun 1991, yang menyimbolkan pesona Huminodun, tokoh mitos yang dianggap kudus dalam budaya Kadazan-Dusun.
“Unduk Ngadau mencitrakan pucuk muda yang dimahkotakan oleh sinar matahari, satu perlambangan keindahan, kemurnian dan keutuhan. Kecantikan yang ayu anggun, bukan lawa gedik gelinjang,” katanya lagi.
Dr. Ramzah menekankan bahawa selama ini pelbagai penambahbaikan telah dilakukan secara substansial seperti keaslian busana tradisi, penggunaan bahasa ibunda, kemahiran dalam gastronomi etnik, serta syarat perwakilan subetnik mengikut daerah – semuanya dengan tujuan memartabatkan identiti dan jati diri Momogun.
Tegas beliau, acara ini bukan sekadar pertandingan ratu cantik, tetapi adalah pencarian duta budaya, dan sebarang percubaan untuk menjadikannya sebagai pentas glamor pop adalah satu langkah ke belakang yang membahayakan warisan.
“Kita mahu lari daripada stigma pop dan hedonis, kerana Kaamatan adalah warisan adat resam,” katanya.
Dr. Ramzah turut menyokong perubahan dan inovasi, namun menegaskan bahawa sebarang bentuk pembaharuan mesti berpijak pada sensitiviti budaya dan sempadan nilai masyarakat.
“Kaamatan nopo nga montok toinsanan, okon do montok dika noh,” katanya, mengingatkan bahawa Kaamatan adalah untuk penyatuan, bukan pertikaian.
Beliau turut menyindir kecenderungan segelintir pihak dalam jawatankuasa penganjur yang mungkin terlalu ghairah untuk menonjolkan diri sehingga terkeliru antara “pembaharuan” dan “kebaru-baruan”.
“When you are overly obsessive and eager to prove yourself, you tend to lose perspective,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, Dr. Ramzah menyatakan sokongan penuh kepada para peserta Unduk Ngadau dan menegaskan bahawa tegurannya tidak ditujukan kepada individu peserta, tetapi sebagai “teguran manja” kepada jawatankuasa agar kembali kepada akar budaya yang sebenar.

