Site icon TUHAU BAMBANGAN

2 maut, 1 cedera, Isuzu Bighorn dinaiki terjunam 60 meter ke dalam gaung di Jalan Tambunan-Penampang

PENAMPANG: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Bighorn terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter di KM43 Jalan Tambunan-Penampang, berhampiran kawasan Gunung Emas, malam semalam.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, kejadian berlaku sekitar jam 9.40 malam apabila pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan tentang kemalangan tersebut.

Siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun dari arah Tambunan menuju ke Penampang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

“Akibat kejadian tersebut, pemandu bersama seorang penumpang lelaki tempatan berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” jelas beliau dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada pagi ini.

Seorang lagi penumpang lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) untuk rawatan lanjut.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.

Insiden ngeri ini turut melibatkan gerak balas pantas daripada pelbagai agensi penyelamat termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang yang menghantar tiga jentera – LFRT, EMRS, dan Vigo – bersama sembilan anggota ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8:15 malam. Pasukan bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa dari dalam gaung.

Komander operasi, PBK I KUP Mohd Khairul Abd. Kohir, turut memaklumkan bahawa operasi tamat sepenuhnya pada jam 10:37 malam selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak berkuasa dan perubatan yang berkaitan.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Saparia Ladoni di talian 019-8095133.

Dalam masa yang sama, pihak polis turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, khususnya di kawasan berbukit dan bergunung yang berisiko tinggi seperti laluan Gunung Emas, serta mengelakkan daripada menyebarkan gambar atau video insiden kemalangan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Exit mobile version