Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bekas Ketua Menteri Sabah Gagal Dalam Usaha Jadi Perdana Menteri, GPS Persoalkan Kenapa Dipersalahkan

PAPAR, 19 Sep -- Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan ucapan pada majlis pemimpin bersama rakyat di sebuah resort hari ini.?-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA??

Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempersoalkan kenapa mereka dipersalahkan apabila Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal gagal dalam usahanya menjadi calon Perdana Menteri.

Ketua Whip GPS di Dewan Rakyat, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, agak menghairankan apabila tiba-tiba GPS dipersalahkan.

Fadillah berkata, beliau terkejut apabila Mohd Shafie dikatakan kecewa kerana gagal menarik sokongan Ahli Parlimen GPS untuk menamakannya sebagai calon.

“Macam mana kita (GPS) hendak menyokongnya, sedangkan Pakatan Harapan (PH) pun tidak mencalonkan namanya untuk jawatan itu?

“Kita kena terima itu realitinya (PH tidak mencalonkan Shafie)”, katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, GPS menyokong hanya satu nama untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri Kesembilan kerana sudah menetapkan pendirian untuk membantu membentuk Kerajaan Persekutuan yang stabil dan tidak mahu krisis politik berterusan.

“Sekarang kita sedang berdepan krisis ekonomi dan krisis kesihatan yang semakin membimbangkan.

“Kita (GPS) tidak mahu masalah yang berat itu ditambah lagi dengan krisis politik berpanjangan,” katanya.

Menurut bekas Menteri Kanan Kerja Raya itu, kestabilan politik amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat ketika ini.

“GPS juga mahu kesinambungan program pemulihan ekonomi yang dirancang sebelum ini seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) diteruskan dengan lancar.

“Kesinambungan itu juga harus diteruskan dalam usaha untuk memastikan kesihatan rakyat menjadi keutamaan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Justeru katanya, GPS yang mempunyai 18 Ahli Parlimen sepakat menyokong satu nama kerana mahu Kerajaan Persekutuan dibentuk secepat mungkin.

“GPS sudah memberikan nama (calon Perdana Menteri), namun akur dengan apa juga keputusan Yang di-Pertuan Agong kerana kita hanya memikirkan untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“GPS yakin kerajaan yang stabil mampu menyelesaikan masalah pandemik dan mengatasi krisis ekonomi serta memberi keutamaan untuk memastikan rakyat hidup selesa mencari rezeki,” katanya.

Sumber : My Metro

Exit mobile version